BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 4, 2009

MOTIVASI
(Dipetik daripada Portal Pendidikan Utusan)
Kemahiran sosial - Memilih sahabat ketika susah dan senang

SELAIN daripada kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, alat penting dalam kehidupan seorang remaja ialah kemahiran sosial.

Kemahiran sosial ialah hubungan interpersonal dan proses interaksi sesama manusia yang positif yang harus membawa manfaat kepada semua pihak yang terlibat sama ada dalam bentuk material, kestabilan emosi, peningkatan kekuatan fizikal, intelek atau spiritual.

Remaja yang tidak mempunyai kemahiran sosial akan bermasalah dalam kehidupan mereka.

Kenapa remaja perlu kepada kemahiran sosial.

Pertama, kita dapati ramai remaja yang tidak tahu bersosial secara positif, mudah terpengaruh dengan anasir negatif.

Selain terlibat dengan dadah, terdapat sebilangan remaja yang terjerumus dengan gangsterisme, `blackmetal' dan `skinhead' yang mengajak mereka kepada kebebasan tanpa batas.

Ini menunjukkan mereka gagal dalam mempamerkan interaksi sosial yang positif.

Kedua, ada sebahagian remaja yang gagal untuk berinteraksi dalam masyarakat sehingga mereka bertindak mengasingkan diri kerana tidak tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan orang lain kerana malu, perasaan rendah diri atau tidak mempunyai keyakinan diri.

Ketiga, terdapat remaja yang tidak mempunyai personaliti yang baik dan mempamerkan tabiat yang buruk sehingga dianggap tidak beradab oleh orang dewasa.

Mereka tidak tahu bagaimana menghormati orang yang lebih tua.

Remaja ini terpengaruh dengan budaya asing yang mereka tonton di televisyen.

Keempat, kelemahan dalam kemahiran sosial jelas dalam kehidupan remaja sekiranya kita melihat ketidakyakinan berkomunikasi dan menyampaikan idea dengan baik.

Kelima, kegagalan mencari pekerjaan kerana tidak mempunyai kemahiran sosial.

Mereka gagal mempamerkan personaliti yang sewajarnya ketika dipanggil temu duga untuk bekerja dengan sesebuah organisasi.

Mereka terbawa-bawa dengan budaya dan tabiat lama ketika di bangku sekolah atau universiti.

Keenam, ada ramai remaja yang bekerja dalam sebuah organisasi namun tidak mampu berinteraksi dengan lebih baik.

Di antara ciri kelemahan dalam kemahiran sosial yang biasa kita lihat ialah

1. tidak boleh menerima perbezaan pendapat,

2. mementingkan diri sendiri,

3. menganggap dirinya sahaja yang betul,

4. suka mencari kesalahan orang lain,

5. tidak mahu menerima pendapat orang lain,

6. tidak menghormati mereka dan tidak boleh bekerja dalam satu pasukan sehingga menimbulkan banyak masalah dalaman.

PERSAHABATAN

Kemahiran sosial juga merujuk kepada persahabatan.

Ramai remaja hari ini mempunyai rakan tetapi rakan mereka hanya bersama dengan mereka ketika senang dan meninggalkan mereka ketika susah dan menderita.

Oleh sebab itulah perlu bagi remaja mencari sahabat atau rakan yang berkualiti.

Rakan yang berkualiti atau sahabat sebenarnya mampu memberi bantuan dalam menstabilkan emosi dan meredakan tekanan ketika remaja menghadapi masalah atau dilanda duka.

Sebagai contoh, sekiranya anda sakit dan terlantar di hospital, maka sahabat yang berkualiti akan sentiasa menziarahi anda dengan senyuman sehingga anda sembuh.

Persahabatan merupakan kesan kemahiran sosial yang kurang diberikan perhatian, sama ada oleh remaja atau masyarakat umum.

Ia mempunyai banyak manfaat termasuk dari segi kesihatan.

Sebagaimana yang disebut dalam Reader's Digest, Edisi November 2002 mengenai manfaat kesihatan melalui persahabatan yang telah dibuktikan oleh lebih daripada 100 penyelidikan.

1. Mampu meningkatkan peluang seseorang untuk hidup ketika menghadapi penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian.

2. Memberikan mereka sistem kekebalan penyakit yang lebih kuat.

3. Memberi mereka yang mempunyai sokongan sosial jangkaan umur yang lebih panjang daripada mereka yang tidak ada.

4. Membaiki kesihatan mental mereka.

Namun kita dapati budaya di kalangan remaja hari ini menjurus kepada bentuk persahabatan yang bersifat sementara, hanya perkara yang berkaitan dengan keseronokan dan hiburan dan tidak membentuk sikap pengorbanan dan kerjasama, dalam perkara melakukan kebaikan dalam masyarakat.

Mereka tidak memahami erti dan nilai persahabatan yang sebenarnya.

Ini merupakan kesan daripada pengaruh nilai dan budaya Barat yang berasaskan hedonisme, kebebasan dan mementingkan diri sendiri.

Peranan ibu bapa

Kemahiran sosial harus dibentuk sejak kecil dan ibu bapa harus berperanan secara proaktif.

malah dipercayai hubungan harian dengan ibu bapa adalah asas kepada perkembangan kemahiran sosial di kalangan kanak-kanak.

Pakar psikologi kanak-kanak telah mencadangkan beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk meningkatkan kemahiran sosial di kalangan kanak-kanak. Antaranya:

1. Memberi peluang kepada kanak-kanak bermain dengan rakan sebaya.

Kanak-kanak yang diberikan peluang yang banyak untuk berinteraksi dengan rakan sebaya mereka mempunyai kelebihan apabila mereka memasuki alam persekolahan dan kurang menghadapi masalah dalam perhubungan sesama rakan sekolah.

2. Ibu bapa boleh juga bermain dengan anak-anak mereka seolah-olah mereka adalah rakan sebaya anak-anak mereka. Biasanya kanak-kanak begini mempunyai kemahiran sosial yang lebih advance dan mudah berinteraksi dengan rakan sebaya mereka.

Kajian menunjukkan ibu bapa kanak-kanak yang berkebolehan dalam perhubungan sosial selalu ketawa dan senyum, mengelakkan diri daripada mengkritik anak-anak mereka ketika bermain dan memberi tindak balas yang positif kepada pendapat dan pandangan anak-anak mereka.

3. Berbual- bual dengan anak mengenai pengalaman interaksi sosial mereka bersama rakan sebaya. melalui kaedah ni kita sebagai ibu bapa dapat memberi gambaran kepada anak-anak kita bahawa kita menitikberatkan diri mereka serta sebagi asas untuk pertukaran maklumat dan menyelesaikan masalah mereka.

4. Memberi anak kita pendekatan yang pelbagai dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan pengalaman interaksi sosial mereka.

5. Menggalakkan tindak balas yang positif dan mesra dan tidak kasar apabila anak-anak kita berhadapan dengan suasana interaksi sosial yang negatif bersama-sama rakan sebaya.

6. Menggalakkan anak-anak mencari penyelesaian mereka sendiri dalam interaksi sosial dengan rakan sebaya mereka apabila anak-anak meningkat dewasa dan campur tangan ibu bapa apabila perlu.

0 comments: