Thursday, June 25, 2009
Wednesday, June 24, 2009
MOTIVASI
Kebaikan Internet
Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain
KEMUDAHAN internet membolehkan seseorang itu mengakses maklumat secarat tepat dan mudah. Keistimewaan ini hanya akan tercapai jika segala peraturan menggunakan internet seperti yang dinyatakan pada penulisan yang lepas dipatuhi. Sebagai seorang murid kemudahan dan peluang ini haruslah digunakan sebaik mungkin untuk membantu meningkatkan lagi mutu pembelajaran.
Di antara kebaikan menggunakan internet adalah seperti berikut:
• Himpunan Maklumat: Ruang dalam internet tidak ada hadnya. Oleh itu banyak maklumat dapat diakses dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, segala maklumat harus dibuat penapisan bergantung kepada sumber perolehan maklumat tersebut. Jika sumber maklumat itu datangnya dari sumber yang tertentu seperti dari pihak kementerian, jabatan, atau sumber yang sahih maka maklumat tersebut bolehlah digunakan sebagai bahan rujukan. Disebaliknya jika terdapat keraguan, maka pencarian maklumat di sumber yang lain harus diteruskan lagi.
• Kebebasan tempat akses: Melalui internet maklumat dapat diakses di mana- sahaja dan bukan lagi hanya terbatas di sekolah atau di rumah. Sewaktu dalam perjalanan di lebuhraya contohnya kita boleh mengakses internet secara percuma di hentian-hentian rehat di mana kemudahan untuk mengakses maklumat ini disediakan oleh pihak TMnet. Malah buat masa ini di kawasan-kawasan tertentu pihat syarikat telekomunikasi telah menawarkan perkhidmatan di mana internet dapat diakses di kawasan terbuka tidak kira di mana kita berada. Ini membolehkan kita mengakses maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
• Penambahan maklumat terkini: Setiap hari ilmu semakin bertambah. Murid yang cemerlang harus menguasai pelbagai ilmu. Bahan-bahan yang terkini harus dijadikan bacaan agar kita tidak ketinggalan. Bahan-bahan berbentuk cetakan seperti buku teks mungkin tidak mampu memuatkan bahan-bahan terkini. Oleh itu internet adalah saluran yang mampu mendapatkan maklumat terkini untuk dijadikan rujukan serta penambahan ilmu pengetahuan.
Peluang sudahpun ada hanya tindakan sahaja yang diperlukan. Tidak ada lagi sebab untuk dijadikan alasan kenapa kita tidak boleh mendapatkan maklumat. Segala maklumat adalah dihujung jari kita tetapi tanpa usaha, segala ilmu yang berada di hujung jari itu akan jatuh berkecai. Oleh itu bertindaklah sekarang sementara nasi belum menjadi bubur!.
Usaha tangga kejayaan.
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 12:06 PM 0 comments
MOTIVASI
Mewujudkan suasana seronok belajar
Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain
Pembelajaran yang berkesan ialah pembelajaran yang menyeronokkan. Apabila keseronokan dirasai, segala keletihan, kerisauan atau kebosanan terhadap pelajaran dapat diatasi.
Oleh itu setiap murid haruslah bersedia agar diri mereka berada dalam keadaan yang seronok terutamanya ketika belajar. Bagaimanakah caranya untuk mewujudkan keseronokan pada diri ketika belajar?
Kekemasan: Pakaian yang kemas, rambut yang terurus, susunan buku yang baik
Caranya: Pastikan pakaian sekolah berada dalam keadaan bersih, kasut tidak kotor, rambut lelaki digunting dengan baik, rambut perempuan diurus dengan kemas serta bertudung, buku yang dibawa ke sekolah berada dalam keadaan yang baik tidak terkoyak dan mudah diambil apabila diperlukan.
Kesihatan: Diri yang sihat tanpa penyakit, keadaan bilik darjah yang bersih.
Caranya: Pastikan murid membersih diri setiap hari. Pastikan kawasan bilik darjah dan sekolah bebas daripada wabak penyakit. Adakan senarai tugas untuk membersih kawasan bilik darjah masing-masing. Guna tandas dengan baik. Jangan makan makanan yang tercemar atau terdedah.
Tingkahlaku/budi bahasa: Cara berbual dengan guru dan rakan. Tidak melanggari peraturan sekolah. Tidak ponteng sekolah.
Caranya: Perlu menghormati guru serta patuh segala arahan terutama apabila guru memberi tugasan kepada murid. Rakan juga harus dihormati. Jangan bergurau sehinggakan menyakiti hati rakan dan berakhir dengan perkelahian. Rajin ke sekolah, jangan terpengaruh dengan remaja luar yang ponteng sekolah.
Minda sihat: Mampu menggunakan fikiran ketika belajar
Caranya: Sentiasa berfikir sewaktu belajar. Banyak berinteraksi dengan guru dan rakan. Banyak membuat latihan.
Jiwa tenang: Menumpukan sepenuh perhatian ketika belajar
Caranya: Tidak menaruh rasa benci, marah, iri hati terhadap rakan atau guru. Sentiasa bersyukur di atas keselesaan yang dirasai. Sentiasa muhasabah diri untuk mengelak rasa bongkak dan sombong.
Cara-cara yang dinyatakan mampu menjadikan bilik darjah itu sebagai “rumah kedua” untuk murid-murid. Apabila diri dan bilik darjah dalam keadaan yang selesa maka pembelajaran dapat berlaku dengan baik. Tidak ada rasa bosan di jiwa kita malah ada pula murid yang suka datang ke sekolah untuk belajar walaupun pada waktu petang atau pada hari cuti hujung minggu.
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 11:53 AM 0 comments
KAUNSELING
Pemikiran mempengaruhi tindakan
REFLEKSI Oleh DR. ISMAIL ZAIN
ENGKAULAH apa yang engkau fikirkan... . begitulah ungkapan yang menjadi lirik lagu yang sering didendangkan oleh pelajar. Ungkapan di atas bermaksud fikiran membentuk keperibadian individu.
Kita sentiasa menggunakan fikiran ketika belajar, berbincang, bermain malah ketika tidur juga fikiran kita terus berfungsi, tambahan pula apabila bulan peperiksaan hampir tiba. Berbagai-bagai perkara yang difikirkan sama ada yang menyeronokkan atau yang mendukacitakan.
Apabila kita memikirkan sesesuatu yang menyeronokkan, wajah akan menjadi ceria, anggota badan menjadi ringan serta rajin untuk bergerak, jiwa merasa lega kerana tidak menanggung derita dan akhirnya diri akan lebih bersemangat untuk bertindak. Sebagai contoh jika ketika belajar kita memikirkan tentang kejayaan yang bakal kita kecapi, maka sudah tentu apa sahaja kesukaran yang mungkin kita temui dapat diselesaikan walaupun terpaksa bersusah payah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.
Sebaliknya jika fikiran kita sentiasa memikirkan tentang masalah yang mendukacitanya kita, maka wajah akan menjadi murung, anggota badan menjadi berat dan malas untuk bergerak, jiwa sentiasa resah serta terseksa dan akhirnya tidak mempunyai semangat untuk bertindak.
Sebagai contoh walaupun hanya sedikit kesukaran yang ditemui ketika belajar ia tidak mungkin dapat diselesaikan jika fikiran kita sentiasa memikirkan perkara-perkara yang negatif seperti kegagalan yang akan ditemui atau rintangan yang diluar daripada kesanggupan diri untuk menyelesaikannya.
Dari dua situasi di atas jelas menunjukkan bahawa pemikiran itu menguasai tindakan di mana akhirnya membentuk keperibadian seseorang.
Justeru, kita perlulah sentiasa berfikiran positif iaitu kita perlulah beranggapan bahawa apa sahaja masalah yang mungkin timbul dapat diselesaikan melalui usaha yang gigih. Setiap tindakan harus dilakukan secara terancang tanpa tergesa-gesa. Kejayaan tidak akan timbul dalam sekelip mata tetapi perlu mengejarnya secara berterusan tanpa berputus asa. Oleh itu jangan ketinggalan masa, bertindaklah segera....anda pasti berjaya!
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 11:42 AM 0 comments
KAUNSELING
Pelajar Bijak
Oleh Dr. Ismail Zain
Ramai dalam kalangan pelajar yang cuba membanding-bandingkan tahap pencapaian antara mereka. Dalam keadaan ini apabila prestasi seseorang itu tinggi, ia dianggap sebagai seorang pelajar yang "pandai", dan jika prestasi seseorang itu rendah ia dianggap sebagai seorang pelajar yang "bodoh".
Sebenarnya dalam proses pembelajaran tidak ada siapa yang dianggap "pandai" atau "bodoh". Seseorang pelajar yang menganggapkan dirinya pandai akan berakhir dengan sikap yang angkuh serta tidak mahu bekerjasama dengan pelajar lain. Pelajar ini juga sering kali enggan menghadiri kelas tambahan dengan alasan mereka sudah memahami topik pembelajaran tersebut.
Begitu juga dengan pelajar yang menganggapkan diri mereka "bodoh" berakhir dengan perasaan rendah diri serta tidak mampu bersaing dengan pelajar lain. Mereka juga sering ponteng dalam kelas-kelas tambahan dengan alasan mereka tidak mampu belajar dan menganggapkan pelajaran itu amat susah untuk difahami.
Dalam hal ini kita harus menjadi seorang pelajar yang "bijak". Pelajar bijak akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk membaiki diri. Walaupun mereka sudah memahami pelajaran yang diajar oleh guru tetapi sanggup datang semula ke kelas-kelas tambahan, bertanya dengan guru, mencari bahan di pusat sumber serta berbincang dengan rakan-rakan dengan harapan prestasi yang baik itu dapat dikekalkan.
Bagi pelajar yang prestasinya rendah tetapi bijak akan sentiasa berfikiran positif. Mereka tidak berputus asa malah berusaha dengan sepenuh jiwa untuk menghadiri sebarang kelas tambahan atau sanggup mencari pelbagai bahan untuk dijadikan rujukan ke arah membuat penambahbaikan diri.
Sebagai semakan pelajar bijak mempunyai ciri-ciri diri seperti berikut:
• Percaya kepada kebolehan diri yang dianugerahkan Allah. Walaupun Allah menentukan segala-galanya tetapi manusia harus merancang. Kita dilahirkan bukan untuk gagal tetapi untuk berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Untuk berjaya usaha harus dilakukan secara sepenuhnya dengan menggunakan kebolehan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.
• Tidak menyalahkan sesiapa dalam sesuatu situasi. Tuduh menuduh atau salah menyalahi antara satu sama lain tidak dapat menyelesaikan masalah. Apa yang harus dilakukan ialah pelajar sendiri harus menerima hakikat sebenarnya, mencari jalan penyelesaian serta membuat penambahbaikan pada diri sendiri.
• Beranggapan bahawa setiap yang susah itu dapat diatasi dengan cara berusaha untuk mengatasinya. Kesusahan dan kesukaran itu ialah cabaran dalam kehidupan. Cabaran pula ialah pengalaman yang mampu mematangkan fikiran serta memperkasakan diri dalam proses mencapai kejayaan.
Justeru, setiap pelajar harus mempunyai sifat yang bijak ketika belajar. Kebijaksanaan mampu mengikis sifat yang negatif serta memupuk sifat jati diri di jiwa pelajar.
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 11:37 AM 0 comments
Tuesday, June 23, 2009
MOTIVASI
(Dipetik daripada http://www.tutor.com.my)
Mendekati bukan menjauhi guru
Mendekati bermaksud menghampiri atau berada bersama-sama manakala menjauhi bermaksud tidak suka bersama atau cuba mengelak daripada berjumpa dengan mereka. Jika perkara ini dirujukkan kepada guru maka seseorang murid itu perlulah menghampiri guru dalam proses pembelajaran. Mereka yang suka menjauhi guru ialah mereka yang tidak berminat untuk belajar dan tidak mahu dibimbing oleh guru.
Seseorang murid seharusnya mendekati guru berdasarkan butiran berikut:
• Guru sebagai sumber ilmu: Kita datang ke sekolah untuk menuntut ilmu. Walaupun ilmu itu berada di mana-mana tetapi peranan dan tunjuk ajar guru amat diperlukan untuk memberi lebih pemahaman kepada kita. Tanpa ilmu kita ibarat kapal belayar di tengah lautan tanpa nakhoda. Sudah tentu ia akan terumbang-ambing dan mungkin juga akan tenggelam dihempas ombak.
• Guru sebagai pembimbing: Setiap murid harus dibimbing setiap hari. Walaupun kita diminta berdikari tetapi bimbingan daripada guru amat diperlukan kerana guru ialah pengganti ibu bapa ketika disekolah.
• Guru sebagai penyelesai masalah: Guru mempunyai pelbagi tugas dan kemahiran. Contohnya menjaga disiplin pelajar, memberi motivasi dan kaunseling, mengajar, melatih aktiviti sukan atau aktiviti kebudayaan. Oleh itu jika kita rajin berdamping dengan guru bermakna kita akan dapat berbagai pengalaman dan kemahiran untuk menjadi pelajar cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum.
• Guru sebagai rakan: Guru juga ialah insan yang mempunyai perasaan serta suka berkawan. Oleh itu pada masa tertentu guru boleh dijadikan rakan yang mampu memahami kehendak dan masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Walaupun guru dianggap sebagai rakan namun mereka perlu dihormati dan segala arahan guru haruslah diamalkan sepanjang masa.
• Guru sebagai penyuluh cahaya: Ungkapan ini bermaksud guru sentiasa memberi bimbingan yang membolehkan murid-murid mendapat kejayaan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi dalam juga segala aspek kehidupan murid tersebut.
Setelah mengetahui betapa besarnya peranan guru serta peluang yang kita boleh perolehi, maka janganlah kita menjauhi guru tetapi kita perlu sentiasa mendekati mereka. Jika menghadapi sebarang masalah kita sewajarnya menghubungi guru untuk mendapat panduan yang sebaiknya daripada mereka. Jangan sekali-kali membenci atau memarahi mereka. Anggaplah mereka itu sebagai ikon ke arah kejayaan diri kita.
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 4:46 AM 0 comments
Monday, June 22, 2009
TEKNIK MENGUASAI SEJARAH
1. Kunci menguasai sejarah ialah membaca dan memahami
Kesilapan yang dilakukan oleh pelajar ialah menghafal. Sungguhpun menghafal akan dapat membantu pelajar, tetapi menghafal tanpa memahami tidak akan membawa pelajar ke mana-mana, malah menghafal akan menyebabkan pelajar hilang minat terhadap Sejarah. Oleh itu, pelajar hendaklah membaca dan memahami perkembangan peristiwa Sejarah. Selepas itu, bincang dengan kawan-kawan tentang peristiwa yang telah dibaca.
2. Berbincang
Sentiasalah berbincang dengan kawan. Melalui perbincangan pelajar akan dapat menguatkan lagi pemahamannya. Selain itu, pelbagai fakta dan implikasi peristiwa Sejarah akan dapat diketahui dengan lebih jelas apabila pelajar-pelajar saling bertukar-tukar pendapat.
3. Latihan menjawab soalan
Selepas membaca atau berbincang, adalah menjadi amalan baik untuk pelajar cuba menjawabsoalan yang menyerupai soalan peperiksaan sebenar. Latihan menjawab soalan objektif akan dapat mengukuhkan lagi pemahaman pelajar. Latihan menjawab soalan juga dapat menguji sama ada pelajar memahami tajuk yang dibaca atau sebaliknya.
4. Ulangkaji
Sentiasalah membuat ulangkaji dan dampingilah buku Sejarah setiap hari. Bacalah buku Sejarah setiap hari walaupun hanya 15 minit.Tabiat ini akan dapat mengelakkan pelajar daripada lalai.
5. Kukuhkan minat terhadap Sejarah
Salah satu faktor kegagalan pelajar dalan peperiksaan Sejarah ialah tiada minat dalam mata pelajaran Sejarah. Sebenarnya minat terhadap mata pelajaran dapat dipupuk melalui beberapa cara seperti perbincangan dan pembacaan.
Pelajar hendaklah sentiasa berbincang dengan rakan-rakan tentang topik yang diulangkajinya.
Moga tip-tip ini dapat dijadikan panduan untuk pelajar bagi meningkatkan prestasi dalam mata pelajaran Sejarah... ikhlaskan hati dan jujur dalam melaksanakan amanah anda sebagai seorang pelajar...semoga anda diberkati Illahi.... Usaha, Ikhtiar, doa dan tawakal.....Good Luck!
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 4:31 PM 0 comments
Sunday, June 21, 2009
TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA
Tahniah...
Minggu peperiksaan telah pun berakhir...minggu ini bermulalah pembelajaran untuk Penggal kedua..kertas jawapan untuk mata pelajaran sejarah kelas yang diajar oleh cikgu telah siap disemak.... Alhamdulillah...prestasi yang membanggakan.. kerana ramai yang berjaya mendapat gred A... semoga kejayaan ini dapat memberi semangat kepada pelajar untuk terus meminati subjek sejarah dan mengulangi kejayaan di masa hadapan. Tahniah kepada pelajar-pelajar...teruskan usaha...moga kejayaan sentiasa menjadi milik anda.
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 7:48 PM 0 comments
Tuesday, June 2, 2009
TIPS MENGULANGKAJI SEJARAH
Setiap pelajar sudah tentu mempunyai strategi dan yang tersendiri untuk mengulang kaji pelajaran. Biasanya strategi seseorang pelajar tidak serupa dengan strategi pelajar yang lain. Ia bergantung kepada keupayaan individu, persekitaran, pengalaman calon menduduki ujian atau peperiksaan yang lalu dan sebagainya.Teknik atau strategi yang terbaik ialah yang selesa, sesuai, semula jadi dan anda fikir berkesan dengan cara anda!
1. Mengetahui topik-topik penting
Selalunya topik-topik penting akan diberi tumpuan semasa membuat ulang kaji. Kemudian diikuti dengan topik-topik yang lain. Buat ulang kaji dengan penuh minat dan ketekunan kerana minat dan ketekunan akan menyebabkan pembelajaran anda akan lebih tersusun! Dengan cara ini anda akan mengulang kaji topik-topik yang lebih sukar dan mencabar tanpa rasa bosan atau terpaksa.Anda juga boleh membuat ulang kaji dan tumpuan yang lebih kepada topik-topik yang agak sukar dan mencabar dan mengurangkan penekanan kepada topik yang anda fikir lebih mudah dikuasai. Calon akan mengulang kaji dengan cekap dan seimbang bagi setiap topik untuk memperoleh hasil yang maksimum.
2. Mengulangkaji secara sistematik dan kronologi.
Peristiwa dan fakta sejarah biasanya disusun mengikut kronologi. Anda perlu mengulangkaji tajuk-tajuk yang mempunyai fakta dan peristiwa yang terlalu padat mengikut susunan iaitu yang dahulu didahulukan, dan yang kemudian dikemudiankan. Ini untuk mengelakkan kekeliruan bagi mengingat fakta dan peristiwa penting.
3. Pertarikhan dalam mata pelajaran Sejarah
Peristiwa dan fakta Sejarah memang tidak boleh dipisahkan dengan tarikh. Perlu diingat, soalan Sejarah PMR dan KBSM tidak begitu membebankan pelajar dengan begitu banyak tarikh yang perlu diingat atau dihafal. Memadailah dengan mengingat atau menghafal tarikh penting atau kurun itu sahaja. Jika tarikh itu kurang penting, cuba ingati peristiwa penting pada awal, pertengahan atau akhir kurun tersebut.
4. Sumbangan tokoh-tokoh penting tanah air.
Cuba ulang kaji juga mengenai biografi tokoh-tokoh penting negara seperti Maharaja Abu Bakar, Dato' Onn bin Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak bin Hussein, Ibrahim Yaakob, Dr Burhanuddin Al Helmi, Ishak Haji Muhammad dan sebagainya. Fokuskan kejayaan utama dan sumbangan mereka kepada negara. Walau bagaimanapun bacalah juga butir-butir peribadi mereka, pendidikan, latar belakang dan gambar foto mereka yang terdapat di dalam buku teks untuk memudahkan pelajar mengecam wajah tokoh-tokoh tersebut.
5. Bersedia dengan soalan berbentuk stimulus.
Para pelajar diminta membiasakan diri dengan soalan berbentuk peta, pernyataan, petikan, carta,graf, gambarajah, puisi, gambar foto, ilustrasi, maklumat peristiwa, situasi, dialog, perbilangan jadual, senarai dan sebagainya. Pelajar yang telah membiasakan diri dengan bentuk soalan seperti ini semasa membuat ulangkaji akan lebih menguasai sesuatu tajuk dengan cepat dan cekap.
6. Membuat nota.
Pelajaran Sejarah tidak pernah membebankan pelajar dengan sesuatu yang terlalu mencabar hingga susah dicapai oleh kebanyakan pelajar. Apa yang penting, pelajar memahami sesuatu peristiwa sejarah itu sendiri. Pelajar yang asyik membaca tetapi masih kabur dan tidak memahami topik yang dibaca perlu mengambil langkah berikut:
-membaca teks buku rujukan
- menggariskan fakta yang dianggap penting
- membaca sambil mencatat nota
Cara pertama memakan masa lebih-lebih lagi kalau buku rujukan terlalu tebal dan pelajar mungkin mengalami kesusahan untuk menghabiskannya. Oleh itu pelajar perlu bersedia sejak awal lagi.
Teknik kedua juga lebih berkesan asalkan pelajar tidak terlalu cenderung untuk menggaris sehingga semua perkataan di dalam teks turut digaris!
Cara ketiga paling berkesan kerana nota yang dibuat adalah ringkas dan dianggap penting. Cara ini menjimatkan masa dan tenaga kerana pelajar yang kurang memahami sesuatu maklumat penting akan membaca teks asal semasa mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan.
7. Ulang kaji soalan lalu.
Calon PMR yang gemar menjawab soalan-soalan PMR Sejarah yang lalu akan lebih bersedia, lebih yakin, lebih bersemangat dan meramal bentuk atau format soalan akan datang. Mengetahui contoh-contoh soalan tahun lepas sangat berguna kepada calon. Ia memberi gambaran bagaimana sesuatu soalan dikemukakan, bilangannya, taburannya dan kekerapan setiap topik disoal.
Ini diakui ramai guru-guru Sejarah kerana Lembaga Peperiksaan sendiri sering mengeluarkan laporan analisis jawapan calon-calon PMR beberapa tahun lalu pada setiap tahun. Daripada analisis laporan tersebut para guru boleh mengetahui kelemahan yang dilakukan oleh setiap calon tahun lepas. Dengan cara inilah calon dapat membaiki kelemahan dan membaiki kelemahan tersebut semasa membuat ulangkaji.
8. Soalan ramalan.
Guna soalan ramalan bukan untuk meneka atau meramal soalan yang akan keluar. Soalan ramalan digunakan untuk membuat latihan dan menguji keupayaan calon sahaja. Jika soalan ramalan yang anda jawab itu keluar, anggaplah ia kebetulan atau sebagai bonus sahaja. Ini disebabkan soalan ramalan memang diragui ketepatannya. Jadi jangan terlalu percaya kepada soalan ramalan hingga tidak mahu mengulangkaji pelajaran.
9. Meneka jawapan dalam peperiksaan.
Boleh, jika calon tidak pernah menduga atau calon benar-benar tidak tahu soalan dan mengganggu jawapan yang dikemukakan. Bagaimanapun anda harus meneka secara bijak iaitu dengan membuat pilihan yang anda pasti betul dan membuang pilihan yang sudah pasti salah. Kemudian pilih jawapan yang paling tepat sehaja daripada pilihan jawapan yang tinggal. Lebih baik meneka daripada tidak menjawab langsung!
10. Membuat latihan sendiri.
Selalulah mencuba membuat latihan sendiri di rumah semasa membuat ulang kaji untuk menilai kelemahan diri sendiri di samping membuat latihan atau ujian yang diberikan oleh guru Sejarah anda di kelas. Apa yang penting ialah para pelajar harus mencuba dan terus mencuba latihan yang dibuat sendiri tanpa perasaan jemu atau terpaksa! Akhirnya, ia akan menjadi satu
11. kebiasaan belajar yang berkesan.
Kebiasaan menjawab sesuatu latihan akan menjadikan seseorang pelajar menjadi mahir dalam topik yang disoal atau dikemukakan. Jika pelajar mengamalkannya maka pelajar kurang menghadapi masalah dalam pelajaran tersebut. Ia bukan sahaja memudahkan pelajar mengingat sesuatu fakta sejarah bahkan sentiasa berusaha untuk menjawab soalan yang lebih mencabar.
Selamat maju jaya....
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 10:04 PM 1 comments