BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, June 24, 2009

MOTIVASI

Kebaikan Internet
Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain

KEMUDAHAN internet membolehkan seseorang itu mengakses maklumat secarat tepat dan mudah. Keistimewaan ini hanya akan tercapai jika segala peraturan menggunakan internet seperti yang dinyatakan pada penulisan yang lepas dipatuhi. Sebagai seorang murid kemudahan dan peluang ini haruslah digunakan sebaik mungkin untuk membantu meningkatkan lagi mutu pembelajaran.

Di antara kebaikan menggunakan internet adalah seperti berikut:
• Himpunan Maklumat: Ruang dalam internet tidak ada hadnya. Oleh itu banyak maklumat dapat diakses dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, segala maklumat harus dibuat penapisan bergantung kepada sumber perolehan maklumat tersebut. Jika sumber maklumat itu datangnya dari sumber yang tertentu seperti dari pihak kementerian, jabatan, atau sumber yang sahih maka maklumat tersebut bolehlah digunakan sebagai bahan rujukan. Disebaliknya jika terdapat keraguan, maka pencarian maklumat di sumber yang lain harus diteruskan lagi.

• Kebebasan tempat akses: Melalui internet maklumat dapat diakses di mana- sahaja dan bukan lagi hanya terbatas di sekolah atau di rumah. Sewaktu dalam perjalanan di lebuhraya contohnya kita boleh mengakses internet secara percuma di hentian-hentian rehat di mana kemudahan untuk mengakses maklumat ini disediakan oleh pihak TMnet. Malah buat masa ini di kawasan-kawasan tertentu pihat syarikat telekomunikasi telah menawarkan perkhidmatan di mana internet dapat diakses di kawasan terbuka tidak kira di mana kita berada. Ini membolehkan kita mengakses maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.

• Penambahan maklumat terkini: Setiap hari ilmu semakin bertambah. Murid yang cemerlang harus menguasai pelbagai ilmu. Bahan-bahan yang terkini harus dijadikan bacaan agar kita tidak ketinggalan. Bahan-bahan berbentuk cetakan seperti buku teks mungkin tidak mampu memuatkan bahan-bahan terkini. Oleh itu internet adalah saluran yang mampu mendapatkan maklumat terkini untuk dijadikan rujukan serta penambahan ilmu pengetahuan.

Peluang sudahpun ada hanya tindakan sahaja yang diperlukan. Tidak ada lagi sebab untuk dijadikan alasan kenapa kita tidak boleh mendapatkan maklumat. Segala maklumat adalah dihujung jari kita tetapi tanpa usaha, segala ilmu yang berada di hujung jari itu akan jatuh berkecai. Oleh itu bertindaklah sekarang sementara nasi belum menjadi bubur!.
Usaha tangga kejayaan.

0 comments: