Tips-Tips Belajar
Pernahkah anda menghadapi situasi sebegini, anda telah berhempas pulas mengulangkaji sehari sebelum ujian bulanan berlangsung. Malangnya sewaktu di dewan peperiksaan, soalan ujian itu seperti tidak terjawab kerana segala fakta yang dibaca hilang entah kemana........
TIPS MEMUDAHKAN PEMAHAMAN SEWAKTU BELAJAR
Satu persoalan, adakah anda faham apa yang anda baca? Sebenarnya pemahaman berkait rapat dengan pengingatan. Untuk mengingati suatu fakta dengan mudah, kita harus memahaminya dan menggunakan cara yang sistematik untuk memahaminya dan menggunakan cara yang sistematik untuk mengingatinya. Disini tersenarai beberapa teknik mengingati suatu fakta dengan sistematik dan mudah. Sebenarnya setiap orang mempunyai otak yang sama hanya bergantung kepada cara individu menggunakannya.
1. Berbisik sendirian boleh membantu menguatkan ingatan
- Apabila anda cuba menghafal sesuatu fakta, anda boleh menukarkannya kepada bahasa dan berbisik kepada diri sendiri. Ini dapat mengukuhkan ingatan anda.
2. Untuk fakta yang tidak harus dilupakan, mesti dihafal pada keadaan sekitar yang lain dari biasa.
- katakan suatu fakta yang agak penting untuk matapelajaran tertentu, maka anda harus menghafalnya dengan baik ditempat yang lain dari biasa. Contohnya menghafal dihadapan cermin atau didalam bilik air. Dengan memikirkan keadaan tersebut, secara tidak langsung anda teringat fakta berkenaan.
3. Kaitkan fakta yang sukar diingati dengan objek-objek yang selalu dijumpai.
- Cari apakah barang yang paling selalu anda lihat. Apabila sukar menghafal sesuatu fakta, kaitkan dengan barang tersebut. Dengan itu, fakta itu tidak mudah luput.
4. Buat ulangkaji matapelajaran yang dipelajari dalam jangkamasa 9 jam.
- Mengikut kajian, hanya 35% atau 2/3 daripada fakta yang dihafal kekal dalam ingatan dalam jangkamasa 9 jam. Oleh itu, dalam masa 9 jam selepas mempelajari sesuatu pelajaran, anda harus mengulangkaji sekali lagi untuk meningkatkan tahap ingatan anda.
5. Ingatan lebih jelas jika gerakan disertakan.
- Semasa belajar sejarah, anda mungkin bosan dengan nama tokoh atau tahun yang perlu diingati. Apabila keadaan ini berlaku, anda boleh berdiri dan cuba melakukan beberapa gerakan yang berkaitan dengan tokoh berkenaan. Dengan itu, anda dapat mengingatinya dengan lebih berkesan.
6. Pengetahuan yang ada mesti digunakan, barulah menjadi kepunyaan.
- Seringkali ada orang bertanya, " Ingatan saya lemah, apakah yang patut saya lakukan?" Sebenarnya, manusia akan melupakan sesuatu untuk mengingati sesuatu yang lain. Sesuatu yang diperlukan akan kekal dalam ingatan dan yang tidak digunakan akan dilupakan. Oleh itu, jika anda mahu apa yang dipelajari kekal dalam ingatan, anda harus sering menggunakannya.
7. Cara pembelajaran ke depan tiga langkah dan undur dua langkah dapat memperkuatkan ingatan.
- Anda boleh membahagikan apa yang anda hendak pelajari kepada tiga bahagian. Selepas menghabiskan bahagian utama, terus ke bahagian kedua. Apabila tamat bahagian kedua, ulangi bahagian pertama dan baca bahagian kedua dan seterusnya. Apabila habis bahagian ketiga, kembali membaca kesemua bahagian. Dengan ini anda pasti dapat mengingati fakta penting dan memahaminya dengan bagus.
8. Membuat catatan kesilapan dapat mengelakkan kelemahan mudah lupa dan susah untuk mengingati.
- Menganggap peperiksaan atau latihan sebagai jalan untuk mencari kesilapan diri, baru ada maknanya. Tetapi manusia sering melupakan sesuatu yang dibencinya atau yang tidak berfaedah kepadanya. Untuk mengelakkan keadaan ini, buat catatan kesilapan yang dilakukan semasa latihan atau peperiksaan. Misalnya, anda boleh melekatkan soalan yang salah dijawab dalam sebuah buku latihan dan tuliskan jawapan sebenar di tepi soalan. Cara ini dapat membantu mengenalpasti kesilapan anda.
Menggunakan Otak Orang Lain
Jangan salah tafsir maksud ayat diatas. Teknik menggunakan otak orang lain ialah menceduk cara pembelajaran dan pengetahuan yang ada padanya untuk kegunaan diri sendiri. Pergaulan yang baik adalah perlu untuk menggunakan cara ini.
a) Pandai bercakap tidak setanding pandai mendengar
- Tidak kira siapa pun orang ternama, mereka merupakan orang yang mahir mendengar. Melalui itu, mereka mengumpul banyak maklumat dan menggunakanya atas kerjaya diri sendiri dan mencapai kejayaan. Oleh itu, jika anda hendak menggunakan otak kawan atau guru, anda mesti menjadi seorang yang mahir mendengar.
b) Mendengar pengalaman kegagalan lebih baik daripada pengalaman kejayaan.
- Pengalaman kejayaan seseorang biasanya lebih menumpukan keputusannya dan mengabaikan proses kejayaannya. Sebaliknya jika mendengar pengalaman kegagalan, biasanya akan dijelaskan sebab menghadapai masalah dan kesilapan yang dilakukan dengan teliti. dan tentunya anda tidak akan melakukan kesilapan yang sama. Pengalaman kegagalan petunjuk jalan kejayaan.
c) Maksud belajar ialah teknik mencuri kaedah pembelajaran dan pengetahuan orang lain.
- Belajar adalah mengumpul maklumat kemudian menukarkannya menjadi pengetahuan diri sendiri dan seterusnya menggunakannya. Oleh itu, cara yang paling cepat dan tepat ialah mencuri teknik atau pengetahuan orang lain. Sasarannyaguru, abang , kakak, rakan dan sebagainya. Ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti mendapatkan pandangan kawan tentang soalan atau topik tertentu dan kesimpulan yang dibuat olehnya.
d) Menggunakan otak orang lain dapat mengenalpasti kelemahan diri
- Kandungan nota ialah isi dan maklumat penting dari buku rujukan dan teks. Ia memudahkan proses mengulangkaji. Sekiranya ia dapat ditukar-tukar dengan kawan, anda dapat menukar maklumat yang tidak terdapat dalam buku nota masing-masing. Selain itu, ia juga dapat mengenalpasti kelemahan sendiri.
e) Menggunakan perbincangan kumpulan kecil dengan betul, membolehkan anda menggunakan otak orang lain untuk belajar
- Kelemahan pembelajaran dalam kumpulan kecil ( study group ) adalah disebabkan tiada kerjasama antara ahli. Jadi pilihlah seorang ketua yang berdaya maju dan berdedikasi dari segi pelajaran dan bertanggungjawab mengajar cara penbelajaran bukan apa yang perlu dipelajari. Ketua akan membahagikan projek kepada setiap ahli kumpulan dan perbincangan tentang jawapan yang tepat dilakukan. Kesimpulannya, kita dapat menerima lebih pandangan dari pelbagai sudut dan lebih memahami pembelajaran.
f) Membuat ramalan soalan, libatkan lebih ramai kawan.
- Jika peperiksaan hampir tiba, antara langkah yang dilakukan ialah membuat ramalan soalan. Tetapi kadangkala soalan tidak menyeluruh dan tidak tepat, kumpulkan soalan ramalan yang dibuat oleh rakan dan buat perbandingan.
g) "Guru" merupakan buku rujukan terbaik.
- Semasa dalam kelas, anda harus meneliti penerangan guru dan buat catatan fakta yang dititik beratkan. Buat ulangkaji. Jika ada kemusykilan, rujuk kepada guru terbabit untuk penerangan yang jelas ataupun dapatkan nasihat tentang contoh latihan dan buku kerja yang sesuai digunakan. Dengan kata lain, guru merupakan rujukan terbaik.
Selamat Maju Jaya
Thursday, July 30, 2009
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 6:22 PM 0 comments
Saturday, July 4, 2009
MOTIVASI
(Dipetik daripada Portal Pendidikan Utusan)
Kemahiran sosial - Memilih sahabat ketika susah dan senang
SELAIN daripada kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, alat penting dalam kehidupan seorang remaja ialah kemahiran sosial.
Kemahiran sosial ialah hubungan interpersonal dan proses interaksi sesama manusia yang positif yang harus membawa manfaat kepada semua pihak yang terlibat sama ada dalam bentuk material, kestabilan emosi, peningkatan kekuatan fizikal, intelek atau spiritual.
Remaja yang tidak mempunyai kemahiran sosial akan bermasalah dalam kehidupan mereka.
Kenapa remaja perlu kepada kemahiran sosial.
Pertama, kita dapati ramai remaja yang tidak tahu bersosial secara positif, mudah terpengaruh dengan anasir negatif.
Selain terlibat dengan dadah, terdapat sebilangan remaja yang terjerumus dengan gangsterisme, `blackmetal' dan `skinhead' yang mengajak mereka kepada kebebasan tanpa batas.
Ini menunjukkan mereka gagal dalam mempamerkan interaksi sosial yang positif.
Kedua, ada sebahagian remaja yang gagal untuk berinteraksi dalam masyarakat sehingga mereka bertindak mengasingkan diri kerana tidak tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan orang lain kerana malu, perasaan rendah diri atau tidak mempunyai keyakinan diri.
Ketiga, terdapat remaja yang tidak mempunyai personaliti yang baik dan mempamerkan tabiat yang buruk sehingga dianggap tidak beradab oleh orang dewasa.
Mereka tidak tahu bagaimana menghormati orang yang lebih tua.
Remaja ini terpengaruh dengan budaya asing yang mereka tonton di televisyen.
Keempat, kelemahan dalam kemahiran sosial jelas dalam kehidupan remaja sekiranya kita melihat ketidakyakinan berkomunikasi dan menyampaikan idea dengan baik.
Kelima, kegagalan mencari pekerjaan kerana tidak mempunyai kemahiran sosial.
Mereka gagal mempamerkan personaliti yang sewajarnya ketika dipanggil temu duga untuk bekerja dengan sesebuah organisasi.
Mereka terbawa-bawa dengan budaya dan tabiat lama ketika di bangku sekolah atau universiti.
Keenam, ada ramai remaja yang bekerja dalam sebuah organisasi namun tidak mampu berinteraksi dengan lebih baik.
Di antara ciri kelemahan dalam kemahiran sosial yang biasa kita lihat ialah
1. tidak boleh menerima perbezaan pendapat,
2. mementingkan diri sendiri,
3. menganggap dirinya sahaja yang betul,
4. suka mencari kesalahan orang lain,
5. tidak mahu menerima pendapat orang lain,
6. tidak menghormati mereka dan tidak boleh bekerja dalam satu pasukan sehingga menimbulkan banyak masalah dalaman.
PERSAHABATAN
Kemahiran sosial juga merujuk kepada persahabatan.
Ramai remaja hari ini mempunyai rakan tetapi rakan mereka hanya bersama dengan mereka ketika senang dan meninggalkan mereka ketika susah dan menderita.
Oleh sebab itulah perlu bagi remaja mencari sahabat atau rakan yang berkualiti.
Rakan yang berkualiti atau sahabat sebenarnya mampu memberi bantuan dalam menstabilkan emosi dan meredakan tekanan ketika remaja menghadapi masalah atau dilanda duka.
Sebagai contoh, sekiranya anda sakit dan terlantar di hospital, maka sahabat yang berkualiti akan sentiasa menziarahi anda dengan senyuman sehingga anda sembuh.
Persahabatan merupakan kesan kemahiran sosial yang kurang diberikan perhatian, sama ada oleh remaja atau masyarakat umum.
Ia mempunyai banyak manfaat termasuk dari segi kesihatan.
Sebagaimana yang disebut dalam Reader's Digest, Edisi November 2002 mengenai manfaat kesihatan melalui persahabatan yang telah dibuktikan oleh lebih daripada 100 penyelidikan.
1. Mampu meningkatkan peluang seseorang untuk hidup ketika menghadapi penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian.
2. Memberikan mereka sistem kekebalan penyakit yang lebih kuat.
3. Memberi mereka yang mempunyai sokongan sosial jangkaan umur yang lebih panjang daripada mereka yang tidak ada.
4. Membaiki kesihatan mental mereka.
Namun kita dapati budaya di kalangan remaja hari ini menjurus kepada bentuk persahabatan yang bersifat sementara, hanya perkara yang berkaitan dengan keseronokan dan hiburan dan tidak membentuk sikap pengorbanan dan kerjasama, dalam perkara melakukan kebaikan dalam masyarakat.
Mereka tidak memahami erti dan nilai persahabatan yang sebenarnya.
Ini merupakan kesan daripada pengaruh nilai dan budaya Barat yang berasaskan hedonisme, kebebasan dan mementingkan diri sendiri.
Peranan ibu bapa
Kemahiran sosial harus dibentuk sejak kecil dan ibu bapa harus berperanan secara proaktif.
malah dipercayai hubungan harian dengan ibu bapa adalah asas kepada perkembangan kemahiran sosial di kalangan kanak-kanak.
Pakar psikologi kanak-kanak telah mencadangkan beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk meningkatkan kemahiran sosial di kalangan kanak-kanak. Antaranya:
1. Memberi peluang kepada kanak-kanak bermain dengan rakan sebaya.
Kanak-kanak yang diberikan peluang yang banyak untuk berinteraksi dengan rakan sebaya mereka mempunyai kelebihan apabila mereka memasuki alam persekolahan dan kurang menghadapi masalah dalam perhubungan sesama rakan sekolah.
2. Ibu bapa boleh juga bermain dengan anak-anak mereka seolah-olah mereka adalah rakan sebaya anak-anak mereka. Biasanya kanak-kanak begini mempunyai kemahiran sosial yang lebih advance dan mudah berinteraksi dengan rakan sebaya mereka.
Kajian menunjukkan ibu bapa kanak-kanak yang berkebolehan dalam perhubungan sosial selalu ketawa dan senyum, mengelakkan diri daripada mengkritik anak-anak mereka ketika bermain dan memberi tindak balas yang positif kepada pendapat dan pandangan anak-anak mereka.
3. Berbual- bual dengan anak mengenai pengalaman interaksi sosial mereka bersama rakan sebaya. melalui kaedah ni kita sebagai ibu bapa dapat memberi gambaran kepada anak-anak kita bahawa kita menitikberatkan diri mereka serta sebagi asas untuk pertukaran maklumat dan menyelesaikan masalah mereka.
4. Memberi anak kita pendekatan yang pelbagai dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan pengalaman interaksi sosial mereka.
5. Menggalakkan tindak balas yang positif dan mesra dan tidak kasar apabila anak-anak kita berhadapan dengan suasana interaksi sosial yang negatif bersama-sama rakan sebaya.
6. Menggalakkan anak-anak mencari penyelesaian mereka sendiri dalam interaksi sosial dengan rakan sebaya mereka apabila anak-anak meningkat dewasa dan campur tangan ibu bapa apabila perlu.
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 4:50 PM 0 comments
Thursday, June 25, 2009
Wednesday, June 24, 2009
MOTIVASI
Kebaikan Internet
Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain
KEMUDAHAN internet membolehkan seseorang itu mengakses maklumat secarat tepat dan mudah. Keistimewaan ini hanya akan tercapai jika segala peraturan menggunakan internet seperti yang dinyatakan pada penulisan yang lepas dipatuhi. Sebagai seorang murid kemudahan dan peluang ini haruslah digunakan sebaik mungkin untuk membantu meningkatkan lagi mutu pembelajaran.
Di antara kebaikan menggunakan internet adalah seperti berikut:
• Himpunan Maklumat: Ruang dalam internet tidak ada hadnya. Oleh itu banyak maklumat dapat diakses dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, segala maklumat harus dibuat penapisan bergantung kepada sumber perolehan maklumat tersebut. Jika sumber maklumat itu datangnya dari sumber yang tertentu seperti dari pihak kementerian, jabatan, atau sumber yang sahih maka maklumat tersebut bolehlah digunakan sebagai bahan rujukan. Disebaliknya jika terdapat keraguan, maka pencarian maklumat di sumber yang lain harus diteruskan lagi.
• Kebebasan tempat akses: Melalui internet maklumat dapat diakses di mana- sahaja dan bukan lagi hanya terbatas di sekolah atau di rumah. Sewaktu dalam perjalanan di lebuhraya contohnya kita boleh mengakses internet secara percuma di hentian-hentian rehat di mana kemudahan untuk mengakses maklumat ini disediakan oleh pihak TMnet. Malah buat masa ini di kawasan-kawasan tertentu pihat syarikat telekomunikasi telah menawarkan perkhidmatan di mana internet dapat diakses di kawasan terbuka tidak kira di mana kita berada. Ini membolehkan kita mengakses maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
• Penambahan maklumat terkini: Setiap hari ilmu semakin bertambah. Murid yang cemerlang harus menguasai pelbagai ilmu. Bahan-bahan yang terkini harus dijadikan bacaan agar kita tidak ketinggalan. Bahan-bahan berbentuk cetakan seperti buku teks mungkin tidak mampu memuatkan bahan-bahan terkini. Oleh itu internet adalah saluran yang mampu mendapatkan maklumat terkini untuk dijadikan rujukan serta penambahan ilmu pengetahuan.
Peluang sudahpun ada hanya tindakan sahaja yang diperlukan. Tidak ada lagi sebab untuk dijadikan alasan kenapa kita tidak boleh mendapatkan maklumat. Segala maklumat adalah dihujung jari kita tetapi tanpa usaha, segala ilmu yang berada di hujung jari itu akan jatuh berkecai. Oleh itu bertindaklah sekarang sementara nasi belum menjadi bubur!.
Usaha tangga kejayaan.
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 12:06 PM 0 comments
MOTIVASI
Mewujudkan suasana seronok belajar
Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain
Pembelajaran yang berkesan ialah pembelajaran yang menyeronokkan. Apabila keseronokan dirasai, segala keletihan, kerisauan atau kebosanan terhadap pelajaran dapat diatasi.
Oleh itu setiap murid haruslah bersedia agar diri mereka berada dalam keadaan yang seronok terutamanya ketika belajar. Bagaimanakah caranya untuk mewujudkan keseronokan pada diri ketika belajar?
Kekemasan: Pakaian yang kemas, rambut yang terurus, susunan buku yang baik
Caranya: Pastikan pakaian sekolah berada dalam keadaan bersih, kasut tidak kotor, rambut lelaki digunting dengan baik, rambut perempuan diurus dengan kemas serta bertudung, buku yang dibawa ke sekolah berada dalam keadaan yang baik tidak terkoyak dan mudah diambil apabila diperlukan.
Kesihatan: Diri yang sihat tanpa penyakit, keadaan bilik darjah yang bersih.
Caranya: Pastikan murid membersih diri setiap hari. Pastikan kawasan bilik darjah dan sekolah bebas daripada wabak penyakit. Adakan senarai tugas untuk membersih kawasan bilik darjah masing-masing. Guna tandas dengan baik. Jangan makan makanan yang tercemar atau terdedah.
Tingkahlaku/budi bahasa: Cara berbual dengan guru dan rakan. Tidak melanggari peraturan sekolah. Tidak ponteng sekolah.
Caranya: Perlu menghormati guru serta patuh segala arahan terutama apabila guru memberi tugasan kepada murid. Rakan juga harus dihormati. Jangan bergurau sehinggakan menyakiti hati rakan dan berakhir dengan perkelahian. Rajin ke sekolah, jangan terpengaruh dengan remaja luar yang ponteng sekolah.
Minda sihat: Mampu menggunakan fikiran ketika belajar
Caranya: Sentiasa berfikir sewaktu belajar. Banyak berinteraksi dengan guru dan rakan. Banyak membuat latihan.
Jiwa tenang: Menumpukan sepenuh perhatian ketika belajar
Caranya: Tidak menaruh rasa benci, marah, iri hati terhadap rakan atau guru. Sentiasa bersyukur di atas keselesaan yang dirasai. Sentiasa muhasabah diri untuk mengelak rasa bongkak dan sombong.
Cara-cara yang dinyatakan mampu menjadikan bilik darjah itu sebagai “rumah kedua” untuk murid-murid. Apabila diri dan bilik darjah dalam keadaan yang selesa maka pembelajaran dapat berlaku dengan baik. Tidak ada rasa bosan di jiwa kita malah ada pula murid yang suka datang ke sekolah untuk belajar walaupun pada waktu petang atau pada hari cuti hujung minggu.
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 11:53 AM 0 comments
KAUNSELING
Pemikiran mempengaruhi tindakan
REFLEKSI Oleh DR. ISMAIL ZAIN
ENGKAULAH apa yang engkau fikirkan... . begitulah ungkapan yang menjadi lirik lagu yang sering didendangkan oleh pelajar. Ungkapan di atas bermaksud fikiran membentuk keperibadian individu.
Kita sentiasa menggunakan fikiran ketika belajar, berbincang, bermain malah ketika tidur juga fikiran kita terus berfungsi, tambahan pula apabila bulan peperiksaan hampir tiba. Berbagai-bagai perkara yang difikirkan sama ada yang menyeronokkan atau yang mendukacitakan.
Apabila kita memikirkan sesesuatu yang menyeronokkan, wajah akan menjadi ceria, anggota badan menjadi ringan serta rajin untuk bergerak, jiwa merasa lega kerana tidak menanggung derita dan akhirnya diri akan lebih bersemangat untuk bertindak. Sebagai contoh jika ketika belajar kita memikirkan tentang kejayaan yang bakal kita kecapi, maka sudah tentu apa sahaja kesukaran yang mungkin kita temui dapat diselesaikan walaupun terpaksa bersusah payah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.
Sebaliknya jika fikiran kita sentiasa memikirkan tentang masalah yang mendukacitanya kita, maka wajah akan menjadi murung, anggota badan menjadi berat dan malas untuk bergerak, jiwa sentiasa resah serta terseksa dan akhirnya tidak mempunyai semangat untuk bertindak.
Sebagai contoh walaupun hanya sedikit kesukaran yang ditemui ketika belajar ia tidak mungkin dapat diselesaikan jika fikiran kita sentiasa memikirkan perkara-perkara yang negatif seperti kegagalan yang akan ditemui atau rintangan yang diluar daripada kesanggupan diri untuk menyelesaikannya.
Dari dua situasi di atas jelas menunjukkan bahawa pemikiran itu menguasai tindakan di mana akhirnya membentuk keperibadian seseorang.
Justeru, kita perlulah sentiasa berfikiran positif iaitu kita perlulah beranggapan bahawa apa sahaja masalah yang mungkin timbul dapat diselesaikan melalui usaha yang gigih. Setiap tindakan harus dilakukan secara terancang tanpa tergesa-gesa. Kejayaan tidak akan timbul dalam sekelip mata tetapi perlu mengejarnya secara berterusan tanpa berputus asa. Oleh itu jangan ketinggalan masa, bertindaklah segera....anda pasti berjaya!
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 11:42 AM 0 comments
KAUNSELING
Pelajar Bijak
Oleh Dr. Ismail Zain
Ramai dalam kalangan pelajar yang cuba membanding-bandingkan tahap pencapaian antara mereka. Dalam keadaan ini apabila prestasi seseorang itu tinggi, ia dianggap sebagai seorang pelajar yang "pandai", dan jika prestasi seseorang itu rendah ia dianggap sebagai seorang pelajar yang "bodoh".
Sebenarnya dalam proses pembelajaran tidak ada siapa yang dianggap "pandai" atau "bodoh". Seseorang pelajar yang menganggapkan dirinya pandai akan berakhir dengan sikap yang angkuh serta tidak mahu bekerjasama dengan pelajar lain. Pelajar ini juga sering kali enggan menghadiri kelas tambahan dengan alasan mereka sudah memahami topik pembelajaran tersebut.
Begitu juga dengan pelajar yang menganggapkan diri mereka "bodoh" berakhir dengan perasaan rendah diri serta tidak mampu bersaing dengan pelajar lain. Mereka juga sering ponteng dalam kelas-kelas tambahan dengan alasan mereka tidak mampu belajar dan menganggapkan pelajaran itu amat susah untuk difahami.
Dalam hal ini kita harus menjadi seorang pelajar yang "bijak". Pelajar bijak akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk membaiki diri. Walaupun mereka sudah memahami pelajaran yang diajar oleh guru tetapi sanggup datang semula ke kelas-kelas tambahan, bertanya dengan guru, mencari bahan di pusat sumber serta berbincang dengan rakan-rakan dengan harapan prestasi yang baik itu dapat dikekalkan.
Bagi pelajar yang prestasinya rendah tetapi bijak akan sentiasa berfikiran positif. Mereka tidak berputus asa malah berusaha dengan sepenuh jiwa untuk menghadiri sebarang kelas tambahan atau sanggup mencari pelbagai bahan untuk dijadikan rujukan ke arah membuat penambahbaikan diri.
Sebagai semakan pelajar bijak mempunyai ciri-ciri diri seperti berikut:
• Percaya kepada kebolehan diri yang dianugerahkan Allah. Walaupun Allah menentukan segala-galanya tetapi manusia harus merancang. Kita dilahirkan bukan untuk gagal tetapi untuk berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Untuk berjaya usaha harus dilakukan secara sepenuhnya dengan menggunakan kebolehan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.
• Tidak menyalahkan sesiapa dalam sesuatu situasi. Tuduh menuduh atau salah menyalahi antara satu sama lain tidak dapat menyelesaikan masalah. Apa yang harus dilakukan ialah pelajar sendiri harus menerima hakikat sebenarnya, mencari jalan penyelesaian serta membuat penambahbaikan pada diri sendiri.
• Beranggapan bahawa setiap yang susah itu dapat diatasi dengan cara berusaha untuk mengatasinya. Kesusahan dan kesukaran itu ialah cabaran dalam kehidupan. Cabaran pula ialah pengalaman yang mampu mematangkan fikiran serta memperkasakan diri dalam proses mencapai kejayaan.
Justeru, setiap pelajar harus mempunyai sifat yang bijak ketika belajar. Kebijaksanaan mampu mengikis sifat yang negatif serta memupuk sifat jati diri di jiwa pelajar.
Posted by SEJARAH DUNIAKU at 11:37 AM 0 comments
.jpg)