BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, May 11, 2009

Sejarah kegagalan akan berulang jika anda tidak mahu berubah

Kesilapan Pelajar dan Cara Mengatasi
Terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh calon ketika belajar Sejarah. Antaranya ialah tidak mengulangkaji secara konsisten, kurang membuat latihan, gemar meramal soalan dan tidak mengetahui teknik menjawab soalan dengan betul. Cerita arnab dan kura-kura memberi banyak pengajaran berkaitan dengan penggunaan masa, ketahanan mental dan usaha yang konsisten.

Dalam kisah itu, Sang Arnab yang mempunyai kekuatan berlari dengan pantas telah dikalahkan oleh Sang Kura-Kura yang berjalan lambat tetapi konsisten. Sebenarnya istilah ‘tiada mood’ atau ‘ada mood’ tidak harus wujud dalam mengulangkaji pelajaran.

Pada peringkat sejarah PMR, kandungan sukatan pelajaran Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua adalah menarik dan ringan. Sukatan pelajaran Tingkatan Tiga lebih ringan! Calon boleh merujuk guru Sejarah pada bila-bila masa jika menghadapi masalah pemahaman terhadap sesuatu tajuk. Calon perlu menghabiskan 3 jam sehari atau sekurang-kurangnya sejam bagi mana-mana tajuk Sejarah tersebut.

Di samping melakukan secara konsisten calon perlu membuat latihan untuk meningkatkan kecekapan. Kekerapan mengulangkaji adalah kunci kepada kefahaman kerana ia mengatasi proses lupa! Ingat! Lupa berlaku disebabkan oleh maklumat yang diterima tidak diulangi dan diulangkaji.

Cara belajar Sejarah yang berkesan ialah melalui proses yang sistematik, iaitu maklumat yang dibaca dimasukkan ke dalam minda secara tersusun dan konsisten. Semak tajuk yang belum diulangkaji dan tajuk yang belum diulangkaji.

Calon perlu menyedari bahawa latihan di kelas, di pusat tuisyen dan di rumah bertujuan memberi kefahaman tentang sesuatu topik. Namun begitu, ramai calon PMR membuat latihan secara sambaleweng dan tidak sepenuh hati. Ramai calon PMR tidak menggunakan masa luang yang ada.Lebih malang lagi ada calon tidak berusaha membuat persediaan (tidak mengulangkaji) sebelum menjawab soalan latihan yang diberi oleh guru. Ingat! Belajar Sejarah yang berkesan ialah melalui proses ulang dan kaji.

Janganlah mengharapkan keputusan yang cemerlang, sekiranya kekerapan anda mengulangkaji boleh dihitung dengan jari.

Saya ulangi, calon perlu kerap membaca dan mengulangkaji untuk mengingat fakta Sejarah. Setiap tahun, soalan ramalan dikeluarkan oleh pelbagai sumber. Bagi calon PMR yang telah bersedia awal, soalan ramalan hanya merupakan soalan yang perlu diberi penekanan.

Sebenarnya mereka sudah bersedia menghadapi apa jua jenis soalan yang meliputi pelbagai tajuk. Tetapi terdapat ramai calon PMR yang belum bersedia. Mereka menggadaikan masa depan dengan bergantung kepada soalan ramalan semata-mata. Tindakan ini sangat berbahaya. Sekiranya soalan yang diramal itu tidak keluar sudah tentulah anda yang keluar!
Saya mengesyorkan calon PMR mengulangkaji bab yang mudah dahulu dikuti bab yang lebih sukar secara konsisten.

Ramai calon PMR mengulangkaji mengikut bab yang mereka sukai sahaja. Ini baik untuk mendorong anda bersemangat dan meminati pelajaran Sejarah. Namun begitu topik dalam

Sejarah mempunyai kesinambungan iaitu ditulis dari bab yang mudah kepada bab yang susah. Calon harus menguasai bab yang awal dahulu sebelum bab yang kemudian. Walau apa pun anda perlu menghadiri kelas pada setiap hari.

Kegagalan anda mengikuti sesuatu tajuk akan mengganggu kefahaman anda terhadap tajuk tersebut.

Terdapat pelbagai teknik pembelajaran Sejarah seperti menyenaraikan isi kandungan, menulis nota peta minda, teknik perbincangan, penggunaan teknik mnemonik untuk tajuk yang membosankan dan sebagainya. Kesemua teknik adalah berkesan dan baik jika bersesuaian dengan cara anda belajar.

Salah satu kelemahan calon PMR ialah menjawab soalan aneka pilihan dan aneka pelengkap dengan teknik yang cepat, tepat dan betul. Calon perlu mempunyai pengetahuan, maklumat dan telah menguasai semua tajuk dalam buku teks Sejarah.

Secara umum calon perlu menjawab soalan objektif menggunakan kaedah berikut.

* Pastikan bahawa anda membaca semua soalan dengan teliti. Fahamkan betul-betul sebelum menjawab

* Jawab semua soalan yang anda pasti atau yakin tentang jawapannya terlebih dahulu sebagai strategi memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya.

* Tandakan jawapan anda dengan jelas di tempat yang disediakan sebaik sahaja setiap soalan dibaca

* Tinggalkan dahulu soalan susah atau tidak pasti jawapannya.

* Bagi soalan susah atau anda tidak pasti dengan jawapannya, pilih jawapan yang betul dengan memotong pilihan jawapan yang tidak munasabah atau meragukan melalui kaedah peyingkiran

* Singkirkan pilihan jawapan yang tidak munasabah atau meragukan anda

* Jika tinggal dua jawapan, pilih jawapan yang anda fikir lebih tepat dan munasabah

0 comments: